Ayam diberi enzim babi: Mudah busuk

KUALA LUMPUR: Mungkinkah ayam daging yang diternak di negara ini diberi enzim babi untuk mempercepatkan tumbesarannya?

Isu itu kini hangat diperkatakan di kalangan masyarakat Islam negara ini berikutan penyebaran satu e-mel yang membangkitkan persoalan sejauh mana ayam di Malaysia boleh dijamin bebas daripada enzim tidak halal, terutama babi.

E-mel itu mendapat perhatian dan memberi pengaruh besar kepada orang ramai kerana dakwaan dibuat turut disokong fakta daripada kajian saintifik yang dilakukan di luar negara.

Mengikut e-mel itu, penggunaan makanan tambahan berbentuk ‘hidrolisis protein’ yang diperbuat daripada enzim babi dan bahan buangan haiwan seperti kulit lembu yang tidak diketahui status sama ada halal atau tidak daripada cara sembelihannya, dikesan di Eropah.

Enzim sama kini dipercayai digunakan secara meluas di beberapa negara di Asia, sekali gus menimbulkan persoalan besar sama ada ia turut digunakan di Malaysia berikutan ayam daging di negara ini kini pelik ciri fizikalnya.

Kami menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang meminta pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan di dalam e-mel itu bagi memastikan umat Islam di negara ini tidak disogokkan makanan haram tanpa disedari.

Antara dakwaan di dalam e-mel itu dan faktanya disokong pemanggil ialah, ayam di pasar kini mudah busuk jika dibiarkan terdedah beberapa minit, menyebabkan peniaga sering menyembur air untuk memastikan ia kelihatan segar dan menghilangkan bau hanyir.

Mengulas dakwaan e-mel berkenaan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengaku kewujudan enzim itu, tetapi tidak tahu sejauh mana meluas penggunaannya di Malaysia kerana ‘kecanggihan’ enzim itu memerlukan ujian makmal yang sukar serta mahal untuk dikesan penggunaannya.

Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim, berkata enzim babi memang digunakan untuk mempercepatkan tumbesaran ayam di luar negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, Belanda, Brazil dan China, namun pihaknya tidak ada laporan tepat mengenai penggunaannya di negara ini kerana tidak pernah menjalankan kajian berhubung isu itu.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak terus dakwaan di dalam e-mel itu. Kita berharap agensi kerajaan berkaitan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti sama ada benar atau tidak maklumat di dalam e-mel itu.

“Ini kerana ayam adalah makanan utama bagi penduduk negara ini, termasuk orang Islam. Ia satu isu besar yang memerlukan pengesahan berdasarkan ujian makmal, bukan hanya berdasarkan pengakuan penternak,” katanya kepada Metro Ahad.

Hatijah juga mengesahkan, ayam di negara ini diberi hormon dan antibiotik untuk menyihat dan menggemukkannya.

Katanya, di Eropah, Amerika Syarikat, Belanda, Brazil dan China, ayam disuntik dengan gelatin bertujuan menambah kandungan air, sekali gus berat badan ayam juga meningkat. Enzim babi pula digunakan untuk mempercepatkan tumbesaran ayam.

“Namun kami tidak tahu sama ada gelatin berkenaan, enzim babi atau bahan buangan lain yang diragui status halalnya turut digunakan oleh penternak di negara ini,” katanya.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) turut memandang serius dakwaan di laman web itu kerana membabitkan isu yang sensitif bukan saja kepada umat Islam tetapi juga kesihatan semua pengguna.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sebelum ini negara dikejutkan dengan laporan mengenai ikan patin diberi makan usus babi bagi memastikan ia segar dan bersaiz besar.

“Justeru, apabila tersebarnya mengenai enzim babi digunakan untuk mempercepat proses tumbesaran dan mengemukkan ayam, ia bukan sesuatu yang tidak masuk akal atau boleh diketepikan begitu saja.

“Fomca meminta kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh bukan saja ke atas ayam yang dijual di pasar, tetapi juga ladang ternakan,” katanya.

Mohd Yusof berkata, Fomca tidak bersetuju dengan pemberian pelbagai antibiotik, hormon atau vaksin kerana ia boleh memberi kesan sampingan, apatah lagi jika benar dakwaan pemberian enzim babi ke atas ternakan.

Katanya, dalam situasi sekarang, perkara itu tidak mustahil jika penternak mengetepikan tanggungjawab mereka, sebaliknya lebih mementingkan keuntungan berikutan kenaikan mendadak kos ternakan.

Bagi pengguna pula, beliau meminta supaya lebih peka dengan fizikal ayam yang dijual.

“Jika lihat ayam berbeza daripada biasa atau saiznya keterlaluan, tanya peniaga mengenai puncanya dan andainya masih was-was, jangan beli,” katanya.

Sementara itu, doktor perubatan yang kini mengusahakan ladang ayam organik, Dr Mohamad Zainol Ahmad Haja, yang dikaitkan di dalam e-mel berkenaan berkata, beliau mengetahui mengenai enzim itu menerusi jurnal penyiasatan Felicity Lawwrence di laman web The Ecologist yang turut disiarkan BBC di United Kingdom.

Katanya, Ekologi ialah kajian mengenai hubungan antara organisma hidup dengan persekitarannya.

“Siasatan Felicity Lawrence membuktikan makanan tambahan berbentuk ‘hidrolisis protein’ yang menggunakan enzim babi dan bahan buangan haiwan digunakan secara meluas di Eropah, terutama Jerman dan Belanda.

“Makanan tambahan daripada babi dan bahan buangan ini murah. Ia berkemampuan memendekkan tempoh matang ayam hanya kepada 28 hingga 30 hari berbanding tempoh sebenar 35 hingga 40 hari,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Mohamad Zainol, penggunaan ‘hidrolisis protein’ sukar dibuktikan kerana memerlukan teknik pecahan sel yang rumit untuk menentukan kandungan enzim khinzir dan bahan buangan haiwan berbanding sel ayam sebenar.

“Bagaimanapun, ujian makmal di Eropah sebagaimana didedahkan Felicity Lawrence menunjukkan seekor ayam yang dibekalkan enzim ini didapati hanya mempunyai 40 peratus daging dan sel ayam sebenar, manakala baki 60 peratus lagi sel babi,” dakwanya.

Beliau mengaku tidak tahu sama ada penternak mencampur enzim sama di dalam makanan ayam mereka untuk mempercepatkan tumbesarannya.

“Yang pasti, ada penternak beretika dan mungkin ada yang tidak. Namun, melihat rupa ayam yang pelik hari ini, saya berasa siasatan perlu dijalankan untuk mengelak perasaan was-was membelenggu masyarakat Islam di negara ini.

“Memandangkan harga makanan ayam kini mahal, kemungkinan ada penternak menggunakan enzim berkenaan memang tinggi. Bayangkan jika seekor ayam dapat dijual hanya pada usia 28 hari berbanding 40 hari sepatutnya, makanan ayam dapat dikurangkan selama 12 hari. Ini penjimatan yang besar,” katanya.


Oleh: ZAINUDDIN ZAIN, FUAD HADINATA YAACOB dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN

Powered by Blogger